PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan supaya melanjutkan umur persaraan bagi sektor swasta kepada 60 tahun sebagai langkah untuk mengekalkan modal insan dan meningkatkan produktiviti. Naib Presiden MTUC, A Balasubramaniam, berkata pada masa ini, sektor swasta mengikut umur persaraan sektor awam sebelum ini iaitu 55 tahun kerana tidak ada undang-undang yang mensyaratkan sektor swasta menetapkan had umur persaraan.
Katanya, MTUC mencadangkan supaya kerajaan yang bercadang meminda Akta Pekerjaan 1955 memasukkan umur persaraan mandatori 60 tahun.
"Kerajaan meningkatkan umur persaraan sektor awam kepada 58 tahun tetapi sektor swasta lagi pada umur 55 tahun yang nyata masih terlalu muda untuk bersara," katanya kepada Bernama. Beliau berkata, majoriti pekerja yang berumur 55 tahun masih sihat dan boleh menyumbang melalui kemahiran dan pengalaman luas yang dimiliki. Balasubramaniam mengulas dasar kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di bawah Rancangan Malaysia kesepuluh (RMKe-10) semalam untuk menarik modal insan dan tenaga kerja berkemahiran termasuk dari luar negara bagi memacu negara menjadi negara maju menjelang 2020. “Di samping meningkatkan produktiviti, tenaga kerja berpengalaman juga boleh membimbing pekerja lebih muda,” katanya. Katanya, tambahan lima tahun perkhidmatan itu akan membantu tenaga kerja sektor swasta melanjutkan pinjaman perumahan dan komitmen terhadap pendidikan anak mereka dan juga menyimpan lebih banyak untuk persaraan mereka melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). – BERNAMA
No comments:
Post a Comment